Bagi anda yang bercita-cita
untuk membina rumahtangga bahagia dan mendapat keberkatan dan keredhaan
daripada Allah s.w.t renungkanlah tips berikut : -
1) Anda perlu meletakkan tujuan perkahwinan
untuk mencari keredhaan Allah. Naluri untuk berteman dan keinginan kepada
anak-anak adalah kehendak semulajadi yang telah diletakkan oleh Allah dalam
diri setiap manusia yang normal.
Surah Al-Furqan ayat 74 :-
"Ya Tuhan kami,
anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai
penyenang hati kami, dan jadikan kami imam bagi orang yang bertaqwa."
2) Anda perlu menyedari bahawa
perkahwinan anda dengan orang yang dikasihi itu adalah suatu ketetapan dari
Allah. Tanpa restu dan izin yang Maha Berkuasa perkahwinan anda tidak mungkin
akan terjadi walau bagaimana besar usaha dan penat lelah yang telah anda
lakukan kearahnya. Anda juga perlu menerima hakikat bahawa usia perkahwinan
anda terletak di tanganNya, dan Allah berhak mengambilnya pada bila-bila masa
yang dikehendakiNya. Sebagai seorang yang beriman dengan qoda' dan qadar Allah
anda hendaklah sentiasa berdoa agar jodoh anda dengan pasangan berpanjangan
sehingga ke akhir hayat.
Allah berfirman dalam surah
Al-An'am ayat 17 :-
"Jika Allah menimpakan
satu kemudharatan kepadamu, maka tidak ada yang menghilangkannya melainkan Dia
sendiri. Dan jika Dia mendatangkan kebaikan kepadamu, maka dia maha kuasa atas
tiap-tiap sesuatu."
3) Perkahwinan membuahkan hak-hak
dan tanggungjawab tertentu yang perlu ditunaikan baik oleh suami atau pun
isteri. Diantara tanggungjawab suami ialah melunaskan mas kahwin, memberi
nafkah zahir dan bathin, mendidik isteri dan anak- anak serta berlaku baik
terhadap mereka. Manakala tanggungjawab isteri pula ialah mentaati suami dalam
perkara yang tidak berlawanan dengan syara', memelihara diri dari perkara yang
mungkar, menjaga harta suami dan menguruskan rumahtangga.
Segala hak dan tanggungjawab
ini telah termaktub didalam Al-Qur'an dan sangat bersesuaian dengan tabiat dan
fitrah semulajadi manusia. Anda seharusnya melaksanakan segala tanggungjawab
ini bukan sekadar untuk menyukakan hati pasangan anda sahaja, sebaliknya kerana
mencari keredhaan Allah s.w.t.
4) Sebagai seorang mukmin , sama ada lelaki
dan perempuan mestilah meletakkan Allah dan Rasul lebih tinggi daripada
segalanya. Firman Allah yang bermaksud :-
"Katakanlah, jika
bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara,isteri-isteri, kaum keluarga kamu, harta
kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya dan
rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai adalah lebih kamu cintai daripada
Allah dan RasulNya dan dari berjihad di jalanNya, maka tunggulah sampai Allah
mendatangkan keputusanNya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang
yang fasik." [Surah At Taubah, 24]
Oleh itu anda mestilah memahami
kedudukan anda di sisi pasangan. Anda bukanlah pihak yang pertama di hatinya.
Bagi suami, selepas ketaatan kepada Allah dan RasulNya, ibubapa jatuh tempat
kedua kemudian barulah isteri dan keluarga. Sementara bagi isteri, suami adalah
tempat kedua selepas Allah dan RasulNya. Kemudian itu barulah ibubapa. Setelah
memahami kedudukan yang ditetapkan oleh Allah, anda seharusnya tolong menolong
di antara suami isteri dalam meletakkan hak dan kedudukan ini supaya kena pada
tempatnya.
5) Anda haruslah ingat bahawa pasangan anda
adalah manusia biasa yang tidak terkecuali daripada kelemahan dan kesilapan.
Anda juga demikian. Oleh itu sekiranya pasangan anda melakukan kesilapan,
janganlah terlalu diperhitungkan. Sentiasalah mengamalkan sikap bertolak ansur
dan saling maaf memaafi antara suami dan isteri.
6) Dalam surah Al-Baqarah ayat 187, Allah
menggambarkan hubungan suami isteri sebagai pakaian bagi satu sama lain.
Bayangkan bagaimana pentingnya pakaian bagi manusia untuk menghindarkan diri
daripada hujan dan panas,begitulah pentingnya anda kepada pasangan anda.
Sebagai pakaian anda diperlukan setiap masa oleh pasangan anda untuk menutupi
keaibannya dan melindunginya daripada perkara-perkara yang tidak menyenangkan.
Oleh itu anda perlulah menjadikan diri anda sebagai pakaian yang terbaik
untuknya dan menjauhkan diri daripada menjadi pakaian yang buruk, lusuh dan
tidak berguna.
7) Sebagai seorang Islam, telah wujud ikatan
persaudaraan Islamiah antara anda dan pasangan sebelum perkahwinan. Ijabkabul
bukan sahaja menjadikan anda suami atau isteri malah mengerat dan mengemaskan
lagi ikatan persaudaraan ini. Oleh itu kasih sayang tidak hanya berfungsi untuk
mengikat suami dan isteri tetapi juga sebagai saudara seiman dan seagama.
8) Anda perlulah beradab dipertemuan pertama
dengan pasangan anda. Suami hendaklah memberi salam kepada isteri apabila
memasuki bilik pengantin dan meletakkan tangannya di atas ubun-ubun isteri
sambil berdoa dengan maksud:-
"Wahai Tuhanku aku memohon
kepadaMu kebaikannya dan kebaikan apa yang Engkau fitrahkan dia atasnya. Dan
aku berlindung dengan Mu dari kejahatannya dan kejahatan apa yang Engkau
fitrahkan dia atasnya."
Selepas itu pasangan hendaklah
bersembahyang sunat dan berdoa kepada Allah agar diberiNya kebaikan dan
dijauhiNya kejahatan. Dan jika hendak bersama dengan pasangan bacalah doa
dengan maksud:-
"Wahai Tuhanku, jauhkan
kami daripada syaitan dan jauhkanlah syaitan daripada anak-anak yang engkau
anugerahkan kepada kami."
Pertelingkahan antara suami
isteri adalah sesuatu yang biasa terjadi sebagaimana lazim disebutkan
'sedangkan lidah lagi tergigit'. Maka apabila berlaku pergeseran janganlah
diperbesarkan. Kalau suami marah seeloknya isteri diam dan kalau isteri marah,
giliran suami pula diam. Adalah tidak perlu pasangan yang dimarahi cuba membela
diri kerana lazimnya ia tidak membuahkan hasil yang baik. Walau bagaimanapun
sesiapa yang marah ini perlulah ingat dan bertanya kenapa aku marah. Adakah pasangan
aku telah melakukan mungkar yang bertentangan dengan syariat Allah. Jika tidak,
nasihat yang baik adalah lebih berkesan. Hidup saling memaafkan dan saling
mengerti antara satu sama lain akan menambahserikan rumah tangga.
Janganlah takut menghadapi dugaan
dan ujian kerana rumahtangga yang diuji akan membuatkannya lebih kukuh dan
matang jika pasangan bijak mengendalikannya. Sentiasalah berdoa kepada Allah
agar mempermudahkan usaha kita dalam melayari kehidupan berumahtangga.
0 comments:
Post a Comment